The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Wajah Bola Selangor: Coach Nik

Feb 04, 2020 - FAS

Wajah Bola Selangor merupakan koleksi temubual dan kisah-kisah individu yang dirakamkan dari padang, stadium, bandar, lebuh dan jalanan, bagi membawa di sebalik tabir kehidupan mereka yang merupakan sebahagian daripada dunia bola sepak Selangor.

 

----------------

 

Asssalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Untuk edisi Wajah Bola Selangor kali ini, giliran saya pula untuk berkongsikan cerita mengenai saya.

 

Nama saya Nik Juhaisham Tarmizi B Hj Juhari atau lebih dikenali sebagai Coach Nik.

 

Saya merupakan anak kelahiran Pasir Puteh, Kota Bharu, Kelantan dan dilahirkan di Kota Bharu pada 13 Jun 1982 dan kini saya berumur 38 tahun.

 

Mengenai status saya pula, saya telah pun berkahwin dan mempunyai dua orang anak.

 

Isteri saya bernama Nor Aziela Bt Mohd Ramli dan anak saya yang pertama bernama Nik Mukhriz Qasrin berumur 11 tahun manakala yang keduanya Nik Mukhriz Mikael berumur enam tahun.

 

Kini saya menetap di Klang dan sudah bermastautin di situ hampir 12 tahun selepas saya berkahwin. Sebelum itu saya menetap di Kuala Lumpur selama tiga tahun.

 

Kini saya memegang jawatan sebagai Ketua Jurulatih Remaja Negeri Selangor atau ringkasnya dipanggil KJRN di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

 

NFDP ini mempunyai empat pemegang taruh iaitu Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara, Persatuan Bolasepak Malaysia dan juga Kementerian Pelajaran Malaysia.

 

Di NFDP, saya diberikan amanah untuk memantau sepuluh pusat latihan di sekitar Selangor yang terdiri daripada empat Akademi Tunas (AT), lima Pusat Latihan Daerah (PLD) dan sebuah sekolah sukan iaitu Sekolah Sukan Negeri Selangor.

 

Akademi Tunas pelatihnya terdiri daripada kanak-kanak berumur tujuh sehingga 12 tahun.

 

Pusat yang pertama beroperasi di Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 atau dipanggil AT Petaling Perdana, yang kedua AT Kuala Selangor berpusat di Sekolah Kebangsaan Batu 9 Jalan Bomba Tanjung Karang.

 

Pusat ketiga adalah AT Hulu Langat yang berpusat di Sekolah Kebangsaan Kajang dan yang keempat adalah AT Hulu Selangor berpusat di Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya.

 

PLD pertama ialah PLD Klang di SMK Meru, PLD Kuala Selangor di SMK Dato Harun, PLD Hulu Selangor di SMK Syed Mansor, PLD Hulu Langat di Sekolah Tinggi Kajang, PLD Petaling Perdana di SMK USJ 23.

 

Saya ditugaskan untuk menjaga pemain-pemain ini yang berumur tujuh tahun hingga 17 tahun.

 

Rutin harian saya adalah pergi ke setiap pusat latihan untuk melihat perkembangan pemain-pemain muda yang sedang dilatih.

 

Selain itu, saya juga perlu memastikan program latihan yang diterapkan dijalankan sepenuhnya oleh jurulatih yang ditugaskan.

 

Ya betul, selain daripada menjaga pemain, saya juga bertanggungjawab untuk memantau jurulatih yang berada di bawah saya.

 

Bagaimana pelatih itu dilatih, modul latihan, system yang digunakan oleh jurulatih, segalanya berada di bawah jagaan saya dan saya perlu memantau setiap perkara tersebut pada setiap hari.

 

Juga saya perlu mengendalikan kursus untuk setiap jurulatih di bawah NFDP untuk memastikan setiap jurulatih mendapat maklumat yang terkini daripada Pengarah Teknikal NFDP.

 

Ianya juga bertujuan untuk memastikan setiap jurulatih sentiasa bersedia dan sentiasa mengikuti pelan yang telah ditetapkan dengan sempurna.

 

Bagaimana saya boleh berkecimpung dalam dunia atau pun karier jurulatih ini?

 

Faktor pertamanya adalah kerana keghairahan saya dalam sukan bola sepak itu sendiri.

 

Sejak di bangku sekolah lagi saya sudah bergiat aktif dalam sukan bola sepak.

 

Sewaktu di sekolah menengah, saya telah mewakili Kelantan untuk bermain di peringkat kebangsaan.

 

Kemudiannya pula saya bermain di pasukan belia Kuala Lumpur.

 

Alhamdulillah saya berjaya melakukan debut bersama pasukan senior Kuala Lumpur pada tahun 2003 menentang pasukan Sarawak di Stadium Negeri Sarawak sewaktu berumur 21 tahun.

 

Tapi pada masa yang sama saya masih lagi belajar di Maktab Perguruan Ilmu Khas Cheras.

 

Kemudian setelah saya tamat belajar, saya mendapat tawaran bekerja di Selangor dan ianya memaksa saya untuk berpindah ke Selangor.

 

Perkara ini adalah salah satu faktor saya menamatkan karier saya selaku pemain bola sepak kerana agak sukar untuk saya berulang alik daripada tempat kerja dan juga padang latihan.

 

Untuk bermain bersama Selangor pula bukannya mudah untuk terpilih kerana Selangor mempunyai ramai pemain yang berbakat pada ketika itu.

 

Jadi saya memutuskan untuk menjadi guru sepenuh masa di sekolah pertama saya iaitu Sekolah Kebangsaan Tropicana di Petaling Jaya selaku guru pendidikan jasmani pada tahun 2004.

 

Ya benar saya seorang guru dan juga seorang ketua jurulatih.

 

Ketika menjadi guru, program NFDP ataupun pada ketika itu masih lagi menggunakan nama My Kid Soccer diadakan dan saya diberikan tawaran untuk menyertai program tersebut pada tahun 2010.

 

Kemudian pada tahun 2014 saya bersama pusat AT Petaling Perdana di SK Seksyen 7, kemudian 2015 dilantik sebagai ketua jurulatih pusat tersebut.

 

Kemudian pada tahun 2016, saya bersama dengan Sekolah Sukan Negeri Selangor dan pada 1 Jun 2017, saya ditawarkan menjadi ketua jurulatih bagi negeri Selangor.

 

Jadi begitulah ceritanya bagaimana saya boleh berada di tempat saya kini.

 

Menjadi jurulatih bagi akar umbi bukannya mudah dan pelbagai cabaran yang perlu saya lalui.

 

Untuk menjaga mereka ni bukannya mudah. Ada ketikanya mereka ini terlalu banyak bermain dan tidak mengambil serius apa yang kita ajar.

 

Namun apabila kita minta untuk mereka untuk focus, mereka akan mengikutinya dengan baik.

 

Untuk pengetahuan semua, akademi tunas ini hanya memilih yang terbaik sahaja namun bila kita pilih yang terbaik bukannya lagi mudah untuk kita ajar.

 

Sebaliknya ianya lagi sukar kerana kita perlu memastikan mereka menjadi lebih baik daripada sewaktu mula-mula mereka tiba di akademi tersebut bukan sekadar daripada aspek permainan, malah daripada aspek mental.

 

Sepanjang terlibat dalam dunia kejurulatihan akar umbi ini, perkara yang saya tidak boleh lupakan adalah pada ketika saya ditegur oleh bekas pengarah teknikal NFDP iaitu Lim Teong Kim.

 

Puncanya adalah pada ketika itu, saya masuk ke bilik jurulatih dan saya tidak bersalaman dengan kesemua jurulatih meskipun sudah memberikan salam pada awalnya.

 

Oleh disebabkan itu, saya diceramah oleh Coach Lim selama 45 minit dan ianya akan sentiasa terpahat dalam memori saya sampai bila-bila.

 

Akhir sekali, selaku jurulatih yang sudah lama berkecimpung dalam sukan bola sepak peringkat akar umbi ini, ingin saya ingatkan bahawa selain daripada komitmen pemain, komitmen ibu bapa juga merupakan faktor penting berjayanya seseorang pemain itu.

 

Ini adalah kerana sekiranya ibu bapa memberikan komitmen untuk menghantar dan mengambil anak-anak, memastikan anak-anak mendapat rehat yang secukupnya dan segalanya.

 

InsyaAllah anak anda akan menjadi pemain yang berjaya.

 

 

Coach Nik

Seorang jurulatih akar umbi, seorang bapa penyayang dan rakan sebaya Badhri Radzi.